welcome

Sunday, 3 April 2011

Sambutan Hari Kekasih Dalam Islam

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing.

Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah.

Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 3 pendapat berkaitan dengan asal usul hari tersebut.

�� Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata.

Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah lalu disapukan darah binatang tersebut ke badan mereka dan mencucinya pula dengan susu.

Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.

�� Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II.

Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.

Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu) . Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

�� Pendapat ketiga menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris. Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

HUKUM MENYAMBUT HARI VALENTINE

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T. :

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. �V
al-Hajj : 67

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama orang kafir seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan dari baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang kafir dan bagi mereka yang meniru budaya orang kafir maka ditakuti dia akan tergolong ke dalam golongan
tersebut. Sabdanya :

Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas.

Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya kafir. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan orang kafir.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.

Tidak dapat dinafikan sambutan Hari Valentine ini sebenarnya membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). �V al-Israa’ :
32

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam dan hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya orang kafir ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari menguar-uarkan sambutan Hari Valentine ini kepada rakyat di sebuah negara Islam seperti Malaysia ini malah ianya sepatutnya dipergunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.

KESIMPULAN

Justeru itu dapat kita rumuskan bahawa sikap orang Islam terutamanya generasi muda berbangsa Melayu di Malaysia ini menyambut Hari Valentine adalah semata-mata bertujuan untuk meniru budaya hedonis yang diimport dari barat. Menurut mereka budaya barat yang sedemikian rupa mencerminkan corak hidup terkini dan paling sesuai pada zaman yang serba moden.

Mereka yang terkebelakang dalam meniru corak hidup barat ini dianggap jumud serta ketinggalan zaman. Maka kita melihat generasi muda Melayu berebut-rebut untuk mengamalkan gaya hidup orang barat seperti mentatu tubuh mereka, mewarnakan rambut mereka berwarna perang, memakai pakaian yang menjolok mata, mengamalkan pergaulan bebas, mengunjungi disko-disko yang dihidangkan minuman keras dan lain-lain lagi.

Bagi mereka dengan mengamalkan cara hidup sedemikian rupa mereka telah berjaya meniru satu kaum yang dianggap serba maju. Sedarlah wahai pemuda-pemudi Melayu, walau sehebat mana kamu meniru gaya hidup barat, mereka tetap melihat kamu sebagai orang Asia yang datang dari dunia ke 3 yang rendah martabatnya berbanding dengan mereka.

Mereka tidak akan melihat kamu sekalian sebagai setaraf dengan mereka walaupun kamu bersungguh-sunguh ingin mencontohi cara hidup mereka. Oleh itu hendaklah bangsa Melayu berbangga dengan apa yang telah ada pada agama serta adat resam bangsa mereka dan janganlah kita terlalu dikelabui dengan kehidupan duniawi yang berkiblatkan barat seperti sambutan Hari Valentine ini. Firman Allah S.W.T. :

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.” �V Surah al-Ghaafir: 39



Read more: http://blog.uhs4all.ws/sambutan-hari-kekasih-dalam-islam/#ixzz1IWsF3muZ

53 sebab Malaysia istimewa

Kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Kalau difikirkan secara mendalam, pepatah yang diakhiri dengan baris ‘lebih baik di negara sendiri’ itu ada benarnya.

Sepatutnya, semakin jauh kita mengembara ke destinasi yang di luar sempadan negara, kita perlu rasa semakin dekat dan rindu pada asal-usul dan keistimewaan di tanah air sendiri.

Selain taat pada konsep Rukun Negara, ada banyak cara untuk rakyat Malaysia mengisi konsep kecintaan mereka terhadap bumi yang bertuah ini.

Sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-53 tiga hari lagi, apa kata kita imbas entiti kembara dan pelancongan yang menjadikan Malaysia tiada duanya di dunia ini.

53 pilihan rawak bagi edisi Horizon kali ini adalah mewakili variasi elemen yang telah lama menjadi sebahagian daripada kebanggaan, sejarah dan gaya hidup rakyat Malaysia.

Selain destinasi popular, senarai ini turut mengetengahkan seleksi istimewa kulinari, budaya, warisan seni bina dan pencapaian prasarana unggul.

Setiap satunya bukan sahaja telah melonjakkan nama Malaysia di peta pelancongan dunia, malah ia menjadi permata yang dekat dengan hati, lalu menjadikan kita semua rakyat Malaysia!

1. Teh tarik – Apabila larutan teh bersama susu krim manis dan dicurah menggunakan kole pada kedudukan tinggi, maka terciptalah minuman rutin warga Malaysia yang dinikmati tidak kira waktu.

2. Songket – Fabrik tenunan tangan yang diserikan motif berbenang perak atau emas. Kekuatan nilai estetika dan identiti bangsa menjadikannya antara tekstil warisan yang elegan.

3. Taman Negara – Kekayaan khazanah alam dilindungi di banyak kawasan yang diwartakan sebagai taman negara. Masing-masing menyimpan tarikan ekosistem yang bernilai tambah.

4. Malaysia Airlines (MAS) – Syarikat penerbangan nasional utama dan banyak memenangi pengiktirafan dan anugerah antarabangsa.

5. Hari Raya Aidilfitri – Sambutan penting selepas sebulan umat Islam berpuasa, selain Hari Raya Aidiladha. Keraian ini merapatkan hubungan ahli keluarga dalam semangat ‘balik kampung’.

6. Menara Berkembar Petronas – Hingga kini, statusnya kekal sebagai menara berkembar tertinggi di dunia dengan ketinggian 452 meter. Bangunan ikonik ini umpama salam pengenalan Malaysia kepada dunia.

7. Nasi lemak – Hidangan warisan ini memerlukan beras ditanak dengan santan kelapa dan dihidangkan bersama sambal, bilis goreng dan telur.

8. Wau bulan – Permainan tradisional persis layang-layang yang terkenal di negeri Kelantan.

9. Genting Highlands – Resort pelancongan tertinggi di Malaysia iaitu pada aras 2,000 meter dari aras laut ini menawarkan penginapan, taman tema dan tema percutian kelas satu.

10. Rangkaian lebuh raya – Jaringan lebuh raya utama negara melancarkan perhubungan darat di Semenanjung Malaysia.

11. Tahun Baru Cina – Perayaan besar bagi kaum Tionghua yang bercerita tentang kedatangan tahun baru. Sambutannya dimeriahkan dengan limau mandarin, pemberian ang pau, tarian singa dan bingit mercun.

12. Menara Kuala Lumpur – Menara telekomunikasi tertinggi yang terletak di Bukit Nenas di tengah-tengah ibu negara. Lokasi ini menyediakan pusat rekreasi, restoran berputar dan dek peninjau.

13. Pulau Langkawi – Pulau bebas cukai yang terletak di negeri Kedah ini terkenal dengan kisah Mahsuri dan pelbagai lagi tarikan buatan selain taman geologi berusia jutaan tahun.

14. Roti canai – Hidangan sarapan popular yang dimakan bersama kuah dal dan teh tarik.

15. Batik lukis – Seni tekstil indah hasil daripada teknik melukis, mencanting dan mewarna. Penggunaannya juga telah dipelbagaikan.

16. Proton – Pengeluar kereta nasional pertama ini telah dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pelbagai model berprestij telah menambat hati pemandu tempatan dan juga luar negara.

17. Pulau Tioman – Pernah tersenarai sebagai 10 pulau tercantik dunia dan kewujudannya kini sedang dipertahankan sebagai antara syurga aktiviti selaman skuba dan gaya hidup pulau yang menyeronokkan.

18. Masjid Negara – Menjadi lambang kedaulatan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Siap dibina pada 27 Ogos 1965 dan mampu menampung seramai 15,000 jemaah.

19. Litar Antarabangsa Sepang – Prasarana kelas dunia untuk perlumbaan Grand Prix A1, Grand Prix Motosikal dan Formula Satu.

20. Deepavali – Festival cahaya yang disambut penuh adat oleh penganut Hindu. Ia jatuh pada hari ke-14 bulan Aipasi, kalendar Tamil.

21. Perak Man – Rangka tulang berusia 10,000-11,000 tahun di Gua Gunung Runtuh, Hulu Perak. Penemuan fosil manusia era Paleolitik paling sempurna di Asia Tenggara itu melakar sejarah tersendiri.

22. Bandar Raya Melaka – Kota warisan sejarah yang sarat nilai pertembungan budaya Melayu, Cina, India, Portugis serta Baba dan Nyonya.

23. Perodua – Syarikat pengeluar kereta nasional kedua dan ditubuhkan pada 1993.

24. Tasik Kenyir – Merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dan terletak di Hulu Terengganu.

25. Orang Utan – Haiwan primat yang menjadi maskot negara ketika Sukan Komanwel 1998. Sebuah pusat pemeliharaan orang utan sering dikunjungi di Sepilok, Sabah.

26. Krismas – Keraian 25 Disember yang disambut secara berbeza oleh kaum Cina, India serta bumiputera Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian.

27. Pulau Pinang – Selain Melaka, negeri ini turut melestari pelbagai nilai sejarah hebat Negeri Selat.

28. Vaisakhi – Diraikan penganut agama Sikh pada tarikh 14 April.

29. Muzium Negara – Ia dirasmikan pada 31 Ogos 1963, berlokasi di Kuala Lumpur dan merupakan lokasi wajib bagi anak Malaysia untuk mengenali sejarah.

30. LIMA – Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi dijayakan secara dwitahunan. Pameran berprestij itu mengumpulkan jentera udara dan maritim yang berkaitan komersial dan pertahanan.

31. Pulau Sipadan – Terletak berhampiran bandar Sampoerna, Sabah, ia adalah antara pulau terindah di dunia dan ibarat syurga buat komuniti penyelam skuba.

32. Homestay – Konsep inap desa yang berjaya melonjakkan industri pelancongan domestik. Masyarakat kampung didekati melalui acara seni, masakan dan gaya hidup.

33. Kereta Api Tanah Melayu – Nostalgia pengangkutan bijih timah kini menghubungkan penduduk di sepanjang laluan landasan 1,699km di seluruh negara.

34. Batu Caves – Formasi gua batu kapur semula jadi yang menjadi meriah terutamanya ketika penganut Hindu menyambut Thaipusam.

35. Gua Niah – Gua batu kapur terbesar di dunia iaitu seluas 12 hektar di Miri, Sarawak. Fosil manusia berusia 40,000 tahun pernah ditemui di situ.

36. Citrawarna 1M alaysia – Ibu negara disimbahi warna kebudayaan dari 14 buah negeri di seluruh negara pada setiap penghujung Mei.

37. Cendol – Hidangan pencuci mulut yang diperbuat daripada tepung beras dan dihidang bersama ais parut, santan dan gula melaka.

38. Putrajaya – Pada tahun 1999, Putrajaya telah menggantikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dengan ciri-ciri bandar raya pintar.

39. Rumah panjang – Rumah tradisional masyarakat Iban di Sarawak. Setiap rumah mengandungi sehingga 20 bilik dan diketuai oleh tuai rumah.

40. Gunung Kinabalu – Berketinggian 4,095 meter, ia adalah gunung tertinggi di Malaysia dan terletak di Kota Kinabalu, Sabah.

41. Piala Monsoon – Kejohanan kapal layar antarabangsa mengumpulkan jaguh-jaguh dunia di Pulau Duyung, Terengganu setiap musim tengkujuh.

42. Petaling Street – Bekas penempatan kaum Cina yang kini menjadi lokasi niaga gerai paling terkenal di tengah-tengah Kuala Lumpur.

43. Istana Negara – Tempat bersemayamnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang turut menjadi lokasi istiadat pertabalan dan upacara rasmi.

44. KLIA – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor menjadi pintu masuk udara utama dengan akses jaringan kereta api elektrik dan lebuh raya canggih.

45. Pasar Seni – Turut dikenali sebagai Central Market, ia menjadi pusat yang mengumpulkan barangan seni, kraf dan cenderamata tempatan.

46. Le Tour de Langkawi – Kejohanan lumba basikal terbesar yang mengumpulkan para peserta dari seluruh dunia.

47. Raflesia – Selain bunga raya sebagai bunga kebangsaan, bunga eksotik terbesar di dunia ini sinonim dengan diversiti belantara Malaysia khususnya di Malaysia Timur.

48. Lemang – Diperbuat daripada beras pulut dan santan yang dimasak di dalam buluh. Makanan ini popular dimakan bersama rendang.

49. AirAsia – Syarikat penerbangan nasional kedua dan syarikat penerbangan tambang murah pertama di Asia.

50. Hari Gawai – Diraikan oleh kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak sebagai meraikan musim menuai padi.

51. Wat Phothivihan – Patung Buddha tidur yang kedua terbesar di dunia terletak di Tumpat, Kelantan.

52. Bangunan Sultan Abdul Samad – Sebuah bangunan warisan kebangsaan yang menjadi saksi kepada penurunan bendera Union Jack dan digantikan dengan Jalur Gemilang pada 31 Ogos 1957.

53. Hari Kebangsaan – Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang wajib dihayati demi menyuntik semangat patriotisme dan kesetiaan pada negara.



Read more: http://blog.uhs4all.ws/53-sebab-malaysia-istimewa/#ixzz1IWneXnaI

Monday, 28 March 2011

yuran smach

assalamualaikum dan selamat petang.,,

perhatian kepada semua rakan2ku , kelas pembuatan tahun 1.,, jika anda belum membuat pembayaran yuran smach, sila buat ppembayaran pada mana2 MT atau exco smach.,,

anda juga boleh membuat pembayaran pada saya ( Sdr mohd Hafizi Bin Zamri ) pada hari esok, selasa 29 mac 20111.,,

segala respon dari pihak anda, saya ucapkan ribuan terima kasih.,,